Monday, November 14, 2011

Bahaya Fahaman al-Mujassimah

Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah


Sedikit peringatan mengenai ajaran menyeleweng, sesat lagi menyesatkan. Iaitu golongan al-Mujassimah. 


Hati-hati dengan golongan al-mujassimah.
Fahaman Wahabi (al-Mujassimah) menyeleweng drpd Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Mereka mengatakan Allah bertempat yang kononnya menggunakan dalil Al-Quran:

“dalam al-Qur'an ada ayat yg memberitahu Allah bersemayam di Arasy..adakh kita msh nk menafiknnya lg??  S U R A T A L - A ' R A F “

Padahal ayat tersebut ayat mutasyabihat….

Sesungguhnya Nabi kita lebih mengetahui bahasa arab dari orang lain. Maka terbatallah pegangan golongan al Musyabbihah al Mujasimah seperti Wahhabiah dewasa ini yang berpegang dengan zahir nas-nas al Quran dan hadis yang bersifat al Mutasyabihat yang secara zahirnya menunjukkan bahawa Allah Taala mempunyai tempat.


Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang sebenar:
ALLAH WUJUD TANPA TEMPAT.

1.     Dalil Al-Quran:

 1-Firman Allah Taala:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ
Maknanya: “Tidak ada sesuatu pun yang menyerupai-Nya dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat”.(al Syura: 11)

2.     Dalil hadis:

Sabda Rasulullah:
كَانَ اللَّهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ غَيْرُهُ
Maknanya: Sesungguhnya Allah sediakala (ada-Nya tanpa permulaan), kewujudan-Nya tanpa ada sesuatu pun di samping-Nya.(H.R al Bukhari)

 -Imam Saidina Ali berkata:
كان الله ولا مكان وهو الأن عليه كان
Maknanya: Allah ada pada azal(adanya tampa permulaan) dan ketika itu belum ada tempat dan dia sekarang(setelah mencipta tempat) seperti biasa ada tanpa tempat. (Dinukilkan oleh Imam Abu Mansur al Baghdadi dalam kitabnya al Farq Bainal Firaq, m/s:333)

-Imam Abu Mansur al Maturidi berkata:
إِنّ اللهَ سُبْحَانَه كَانَ وَلاَ مَكَان
Maknanya: Sesungguhnya Allah subhanahu wataal ada tanpa tempat (Kitab al Tauhid, m/s:69, karangan Imam al Maturidi)

-Imam Syafei berkata:
إنه تعالى كان ولا مكان فخلق المكان وهو على صفة الأزلية كما كان قبل خلقه المكان لايجوز عليه التغيير في ذاته ولا التبديل في صفاته
Maknanya: Sesungguhnya Allah Taala ada sebelum terciptanya tempat, dan selepas dicipta tempat maka Dia tetap bersifat azali(ada tanpa tempat) sepertimana sebelum Dia mencipta tempat, tidak harus berlaku pada-Nya perubahan pada zat dan sifat-sifat-Nya.( Diriwayatkan dalam kitab Ithaf al Sadatil Muttaqin, jilid 2 m/s:24.)



3.     DALIL IJMAK BAHAWA ALLAH ADA TANPA TEMPAT

1- Sheikh Abdul Qohir bin al Tamimi al Baghdadi telah menukilkan ijmak bahawa Maha suci Allah dari tempat:

وأجمعوا على أنه لا يحويه مكان ولا يجري عليه زمان
Makna: “Mereka (ahlus sunnah wal jamaah) telah bersepakat bahawa Dia (Allah) tidak bertempat”. ( Al-Farqu Baina Al-Firaq, hlm. 256)

2- Imam Abdul Malik al Juwaini berkata:

ومذهب أهل الحق قاطبة أن الله سبحانه و تعالى يتعالى عن التحييز والتخصص بالجهات
Maknanya: Dan pegangan Ahli al Haq semuannya ialah Allah Subhanahu Wataala Maha Suci dari bertempat dan arah-arah.( Kitab al Irsyad, m/s:58)


4.     Dalil Akal:

Banyak para ulamak yang menjelaskan dalil akal bagi menafikan tempat bagi Allah seperti mengatakan bahawa setiap sesuatu yang mengambil tempat atau arah maka ia perlu kepada sesuatu yang lain untuk mengkhusukan baginya tempat tersebut, maka jika ia berada pada tempat maka sudah pasti dia akan tinggal padanya lalu berlaku padanya sifat bergerak, kerana keadaan tempat tidak lari dari sifat bergerak atau diam, dan setiap yang bersifat sedemikian maka ia baharu, dan yang baharu itu tidak layak menjadi tuhan.

-Maha Suci Allah daripada tempat. Allah wujud tanpa tempat. Tempat itu makhluk. Allah tidak berhajat kpd makhluk. Jika Allah berhajat pada makhluk nescaya Allah lemah. Dan Allah lemah itu MUSTAHIL. 



Sunday, November 13, 2011

Risalah Misbahul Munir



Kitab Akidah: Risalah Misbahul Munir
Disusun Oleh: Tuan Guru Abdul Aziz Bin Ismail AlFatoni

RAMADHAN : MENUJU TAQWA ATAU LALAI

Dengan puasa yang kita buat, malam kita bertarawih, berdoa secara bersistematik dari awal ramadan sampai akhir ramadan iaitu doa;


Doa Paling Afdal di Bulan Ramadhan
“Allah humma innaka ‘afuu ’un karimun tuhib bul ‘af wa fa’ fu ‘anni” (maknanya Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang sangat suka mengampun, ampunkanlah dosa-dosa ku).

Kalau dibuat setiap malam dari awal ramadan sampai akhir ramadan pastilah kita jumpa dengan satu malam yang mana malam ini ialah malam Qadar. Sebab dia pasti datang setiap tahun dibulan ramadan. Kalau kena malam itu maka sampailah tujuan tadi kita dapat memohon daripada Allah swt. minta yang paling berharga iaitu bermohon agar Allah mengampunkan semua dosa-dosa kita. Kalau bertemu demikian kita sampailah kepada matlamat tadi iaitu “La’al lakum tat takun” dengannya kamu bertaqwa,

Tuesday, November 1, 2011

Takbir Muqayyad Pada Subuh 9 Zulhijjah



Salam Eidul Adha

Takbir Muqqayyad(terikat) bermaksud takbir yang dilafazkan sebaik sahaja selesai memberi salam solat fardu mahupun sunat.

9 Dzul Hijjah adalah hari wuquf di Arafah. Disunnatkan kita di sini untuk berpuasa di mana Junjungan Nabi s.a.w. menyatakan bahawa kelebihan puasa Arafah, Allah Taala mengampunkan dosa dua tahun, setahun yang lepas dan setahun yang akan datang.

Setelah sembahyang fardhu Subuh pada 9 Dzul Hijjah, disunnatkan kita bertakbir dan diteruskan takbir tersebut mengiringi apa jua sembahyang baik fardhu mahupun sunat termasuklah sembahyang jenazah dan sembahyang qadha. Ini menurut pendapat Imam Ibnu Hajar. Imam ar-Ramli pula berpendapat mula takbirnya dengan terbit fajar subuh hari Arafah.

Takbir muqayyad yang mengiringi sembahyang ini berakhir setelah sembahyang Asar pada 13 Dzul Hijjah nanti, menurut Imam Ibnu Hajar. Imam ar-Ramli berpendapat sehingga terbenam matahari pada hari tersebut (yakni hari ke-13 Dzul Hijjah).

Kesimpulan, kita disunatkan bertakbir bermula Subuh 9 Dzul Hijjah hingga Asar 13 Dzul Hijjah. Mudah-mudahan bermanfaat.

Saturday, October 15, 2011

Adakah Hanya Ini Tanda-tanda Akhir Zaman?

Dibawah adalah bencana alam yang berlaku:

Tsunami Besar





Segala yang disebut bencana alam itu adalah berlaku dengan izin Allah.








Pelbagai tanda-tanda kiamat kecil telah berlaku dan antaranya ialah berlakunya banyak bala yang diturunkan oleh Allah.






Dari Tsunami ke Gempa Bumi dan banyak lagi.











Tetapi ini hanya secebis...

Tetapi adakah hanya bala (yang disebut bencana alam) ini sebagai tanda akhir zaman?





Tahukah anda bahawa bala yang paling besar telah menimpa umat akhir zaman adalah tidak mengenal Tuhannya...
"Tidak ada Islam di akhir zaman melainkan hanya nama sahaja" -maksud hadis.

Berdasar sabda baginda diatas, jelaslah di akhir zaman, Islam hanya pada nama sahaja. Umat tidak lagi mengenal Tuhannya. Nauzubillah...

 Kata ulama' : Awal agama adalah mengenal Allah. 
Bagaimana nak kenal Allah? Ketahuilah, untuk mengenal Allah mesti mengetahui sifat-sifat kesempurnaan bagi Allah. Bukan hanya kenal nama sahaja.

Sesungguhnya amatlah besar faedahnya menuntut ilmu aqidah bagi mengenal Allah.


Monday, September 26, 2011

Penjelasan Tauhid



ما معنى التوحيد؟

ج: هو إفراد القديم من المحدث كما الإمام الجنيد, ومراده بالقديم الله الذي لا بداية له, والمحث المخلوق

 (قال تعالى : (ليس كمثله شىء 
 سورة الشورى/11

Sumber: Risalah Aqidatul Muslimin

Terjemahan:


Apa Erti Tauhid?



Jawapan: Al-Imam al-Junayd berkata:



التَّوْحِيدُ إِفْرَادُ الْقَدِيـمِ مِنَ الْمُحْدَثِ
Maknanya: “Tauhid ialah menyucikan (Allah) al-Qadim (Yang Maha Sedia Ada tidak mempunyai permulaan) dari (menyerupai makhluk-Nya) yang baharu (ada yang didahului dengan tiada dan ada permulaan)”. [Diriwayatkan oleh al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi]


Allah ta^ala berfirman:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَىْءٌ
Maknanya: “Tiada suatu pun yang sama seperti-Nya (Allah)”. [Surah al-Shura: 11]


Suatu ketika Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam ditanya tentang amalan yang paling utama, lalu Baginda sallaLlahu ^alayhi wasallam menjawab:


إِيـمَانٌ بِاللهِ وَرَسُولِهِ
Maknanya: “Keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari]

Saturday, August 27, 2011

Nabi Isa Bukan Anak Tuhan!!!

Sedikit Penyelidikan Ilmiah Mengenai Perbezaan Antara Pegangan Kristian dan Islam




Perkongsian ini adalah bertujuan untuk membawa persefahaman antara masyarakat  dan mewujudkan satu kehidupan yang hormani dalam kehidupan bermasyarakat majmuk. Perkongsian ini khusus untuk umat Islam.


Perbezaan pegangan Umat Islam dengan Kristian.
  • Nabi Isa ‘Alaihissalam merupakan Utusan Tuhan dan merupakan Anak Tuhan (Agama Kristian) 
  • Nabi Isa ‘Alaihissalam merupakan Utusan Allah (Rasulullah) dan Baginda Nabi Isa bukanlah anak Tuhan. (Agama Islam )
Dimanakah titik perbezaan antara pegangan umat Islam dengan Penganut agama Kristian?

Berdasarkan temubual dengan penganut Agama Kristian yang Arif tentang agamanya. Saya difahamkan bahawa  Nabi Isa ‘Alaihissalam merupakan utusan Tuhan dan merupakan Anak Tuhan. Nabi Isa merupakan yang Istimewa kerana tidak mempunyai bawa disisi manusia. Nabi Isa telah menyalibkan dirinya sampai mati untuk menebus dosa umatnya yang terdahulu. Dan Nabi Isa merupakan penyelamat kepada seluruh manusia serta merupakan Nabi Akhir Zaman (Agama Kristian).

Manakala mengikut pegangan kita Umat Islam, Nabi Isa ‘Alaihissalam merupakan manusia yang diUtuskan oleh Allah Ta’ala dan bukanlah anak Tuhan. Kenapa?

1.       Sebabnya, sekiranya Tuhan mempunyai anak, nescaya Tuhan berjantina dan mempunyai nafsu atau melakukan hubungan seks, samada melalui sexual atau atau asexual. Dan menisbahkan Tuhan berjantina dan bernafsu merupakan satu penghinaan terhadap Tuhan. Dan Nabi Isa ‘Alaihissalam tidak mempunyai bapa tidaklah pelik, semuanya dengan kekuasaan Tuhan. Macamana pula dengan Nabi Adam ‘Alaihissalam? Baginda Nabi Adam ‘Alaihissalam bukan sahaja tidak mempunyai Bapa, bahkan tidak mempunyai Ibu.  Kenapa pula Nabi Adam bukan anak Tuhan sedangkan dia tidak mempunyai Bapa dan Ibu.

2.      Manakala didalam Al Qur’an, Allah Ta’ala berfirman :
 
Maksudnya :  Dan mereka Yang kafir berkata: "(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak."(88)
Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara Yang besar salahnya! (89)
langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) Yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, (90)
Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak. (91)
Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, Bahawa ia mempunyai anak. (92)
Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba. (93)

            Begitulah sedikit sebanyak antara kupasan rinkas mengenai salah satu perbezaan pegangan antara Islam dengan Kristian.
InsyaALLAH, kupasan sedikit sebanyak mengenai isu kedua akan dikeluarkan tak lama lagi.
Oleh,
Hamdi Razab Al Kelantany,

Tuesday, July 19, 2011

Kenapa Tidak Minum Terus Daripada Bekasnya


Diambil terus daripada:
http://jomfaham.blogspot.com/2011/03/mengapa-tidak-terus-minum-daripada.html

Kisahnya begini :

Suatu hari, datang seorang pemuda ke sebuah Pesantren di Indonesia bertujuan untuk bertemu dengan Kiyai di Pesantren tersebut. Maka berlakulah dialog di antara pemuda dan Kiyai di ruang tamu rumah Kiyai itu.

Pak Kiyai : Silalah duduk anak muda, siapa namamu dan dari mana asalmu?

Pemuda : Terima kasih Pak Kiyai. Nama saya Abdullah dan saya berasal dari Kampung Seberang.

Pak Kiyai : Jauh kamu bertandang ke sini, sudah tentu kamu punya hajat yang sangat besar. Apa hajatnya mana tahu mungkin saya boleh menolongmu?

Pemuda tersebut diam sebentar sambil menarik nafasnya dalam-dalam.

Pemuda : Begini Pak Kiyai, saya datang ke sini, bertujuan ingin berbincang beberapa permasalahan dengan Pak Kiyai. Pendeknya, permasalahan umat Islam sekarang. Saya ingin bertanya, mengapa Kiyai-Kiyai di kebanyakan pesantren di Indonesia, dan Tuan-Tuan Guru di Malaysia serta Pattani dan Asia umumnya sering kali mengajar murid-murid mereka dengan lebih suka mengambil kalam-kalam atau pandangan para ulama? Seringkali saya mendengar mereka akan menyebut : “ Kata al-Imam al-Syafiee, kata al-Imam Ibn Ato’illah al-Sakandari, Kata al-Imam Syaikhul Islam Zakaria al-Ansori dan lain-lain”

Mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah ? Bukankah lebih enak kalau kita mendengar seseorang tersebut menyebutkan “ Firman Allah taala di dalam al-Quran, Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis itu dan ini?”

Ulama-ulama itu juga punya kesalahan dan kekurangan. Maka mereka juga tidak lari daripada melakukan kesilapan. Maka sebaiknya kita mengambil terus daripada kalam al-Ma’sum iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Pak Kiyai mendengar segala hujah yang disampaikan oleh pemuda tersebut dengan penuh perhatian. Sedikitpun beliau tidak mencelah malah memberikan peluang bagi pemuda tersebut berbicara sepuas-puasnya. Sambil senyuman terukir di bibir Pak Kiyai, beliau bertanya kepada pemuda tersebut,

Pak Kiyai : Masih ada lagi apa yang ingin kamu persoalkan wahai Abdullah?

Pemuda : Setakat ini, itu sahaja yang ingin saya sampaikan Pak Kiyai.

Pak Kiyai : Sebelum berbicara lebih lanjut, eloknya kita minum dahulu ya. Tiga perkara yang sepatutnya disegerakan iaitu hidangan kepada tetamu , wanita yang dilamar oleh orang yang baik maka disegerakan perkahwinan mereka dan yang ketiga si mati maka perlu disegerakan urusan pengkebumiannya. Betul kan Abdullah?

Pemuda : Benar sekali Pak Kiyai .

Pak Kiyai lalu memanggil isterinya bagi menyediakan minuman pada mereka berdua. Maka beberapa detik selepas itu minuman pun sampai di hadapan mereka.

Pak Kiyai : Silakan minum Abdullah.

Sebaik dipelawa oleh Pak Kiyai, maka Abdullah pun terus mengambil bekas air tersebut lalu menuangkan perlahan-lahan ke dalam cawan yang tersedia.

Pak Kiyai terus bertanya : Abdullah, kenapa kamu tidak terus minum daripada bekasnya sahaja? Kenapa perlu dituang di dalam cawan?

Pemuda : Pak Kiyai, mana bisa saya minum terus daripada bekasnya. Bekasnya besar sekali. Maka saya tuang ke dalam cawan agar memudahkan saya meminumnya.

Pak Kiyai : Abdullah, itulah jawapan terhadap apa yang kamu persoalkan sebentar tadi. Mengapa kami tidak mengambil terus daripada al-Quran dan al-Sunnah? Ianya terlalu besar untuk kami terus minum daripadanya. Maka kami mengambil daripada apa yang telah dituang di dalam cawan para ulama. Maka ini memudahkan bagi kami untuk mengambil dan memanfaatkannya.

Benar kamu katakan bahawa mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah. Cuma persoalan kembali ingin saya lontarkan kepada kamu. Adakah kamu ingin mengatakan bahawa al-Imam al-Syafie dan para ulama yang kamu sebutkan tadi mengambil hukum selain daripada al-Quran dan al-sunnah? Adakah mereka mengambil daripada kitab Talmud atau Bible?

Pemuda : Sudah tentu mereka juga mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah.

Pak Kiyai : Kalau begitu, maka sumber pengambilan kita juga adalah daripada al-Quran dan al-Sunnah cuma dengan kefahaman daripada para ulama.

Pak Kiyai : Satu lagi gambaran yang ingin saya terangkan kepada kamu. Saya dan kamu membaca al-Quran, al-Imam al-Syafie juga membaca al-Quran bukan?

Pemuda : Sudah tentu Pak Kiyai.

Pak Kiyai : Baik, Kalau kita membaca sudah tentu kita ada memahami ayat-ayat di dalam al-Quran tersebut bukan? Al-Imam al-Syafie juga memahami ayat yang kita bacakan. Maka persoalannya , pemahaman siapa yang ingin didahulukan? Pemahaman saya dan kamu atau pemahaman al-Imam al-Syafie terhadap ayat tersebut?

Pemuda : Sudah tentu pemahaman al-Imam al-Syafie kerana beliau lebih memahami bahasa berbanding orang zaman sekarang.

Pak Kiyai : Nah, sekarang saya rasa kamu sudah jelas bukan? Hakikatnya kita semua mengambil daripada sumber yang satu iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Tiada seorang pun yang mengambil selain daripada keduanya. Cuma bezanya, kita mengambil daripada pemahaman terhadap al-Quran dan al-Sunnah tersebut daripada siapa? Sudah tentu kita akan mengambil daripada orang yang lebih dalam ilmu dan penaakulannya. Ini kerana mereka lebih wara’ dan berjaga-jaga ketika mengeluarkan ilmu.

Kamu tahu Abdullah, al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu pernah ditanya oleh seseorang ketikamana beliau sedang menaiki keldai , berapakah kaki keldai yang Imam tunggangi?

Maka al-Imam al-Syafie turun daripada keldai tersebut dan mengira kaki keldai tersebut. Selesai mengira kaki keldai berkenaan, barulah al-Imam menjawab : “ Kaki keldai yang aku tunggangi ada empat”. Orang yang bertanya tersebut merasa hairan lalu berkata “ Wahai Imam , bukankah kaki keldai itu sememangnya empat, mengapa engkau tidak terus menjawabnya?” al-Imam al-Syafiee menjawab : “ Aku bimbang, jika aku menjawabnya tanpa melihat terlebih dahulu, tiba-tiba Allah taala hilangkan salah satu daripada kakinya maka aku sudah dikira tidak amanah di dalam memberikan jawapan”

Cuba kamu perhatikan Abdullah, betapa wara’nya al-Imam al-Syafie ketika menjawab persoalan berkaitan dunia. Apatah lagi kalau berkaitan dengan agamanya?

Al-Imam Malik radhiyallahu anhu pernah didatangi oleh seorang pemuda di dalam majlisnya di Madinah al-Munawwarah. Pemuda tersebut mengatakan bahawa dia datang daripada negeri yang jauhnya 6 bulan perjalanan daripada Madinah. Pemuda itu datang untuk bertanyakan satu masalah yang berlaku di tempatnya.
Al-Imam Malik radhiyallahu anhu, mengatakan bahawa “ Maaf, aku tidak pandai untuk menyelesaikannya”
Pemuda tersebut hairan dengan jawapan Imam Malik, dan dia bertanya : “ Bagaimana aku akan menjawab nanti bilamana ditanya oleh penduduk tempatku?”

Maka kata al-Imam Malik : “ Katakan kepada mereka bahawa Malik juga tidak mengetahui bagaimana untuk menyelesaikannya”

Allah.. Cuba kamu lihat Abdullah betapa amanahnya mereka dengan ilmu. Berbeza dengan manusia zaman sekarang yang baru setahun jagung di dalam ilmu sudah mendabik dada mengaku bahawa seolah-olah mereka mengetahui segalanya.

Pemuda : MasyaAllah, terima kasih Pak Kiyai atas penjelasan yang sangat memuaskan. Saya memohon maaf atas kekasaran dan keterlanjuran bicara saya .

Pak Kiyai : Sama-sama Abdullah. Semoga kamu akan menjadi seorang yang akan membawa panji agama kelak dengan ajaran yang benar InsyaAllah.

Saturday, July 9, 2011

Kepentingan Mengetahui Makna Dua Kalimah Syahadah


Sedia maklum Rukun Islam ada lima iaitu:
1. Mengucap dua kalimah syahadah.
2. Solat lima waktu.
3. Berpuasa pada bulan Ramadhan.
4. Mengeluarkan zakat.
5. Menunaikan haji bagi yang mampu.

Disebut solat, mesti ada rukun-rukunnya. Tertinggal salah satu rukun, batallah solat. Bagaimana dengan rukun Islam pertama iaitu mengucap dua kalimah syahadah... Sudahkah kita mengetahui dan memahami rukun-rukun dan fardhu syahadah itu sendiri? Tertinggal salah satu rukun syahadah, boleh membawa batal syahadah. Nauzubillah...

KEPENTINGAN MENGETAHUI MAKNA DUA KALIMAH SYAHADAH 
Dua kalimah syahadah merupakan rukun islam yang pertama. Kewajipan mengucap dua kalimah syahadah telah disyariatkan oleh Allah Ta’ala kepada umat Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam pada seawal waktu Rasululullah dilantik menjadi Nabi dan Rasul iaitu sewaktu Rasulullah berumur 40 tahun. Jarak antara disyariatkan dua kalimah syahadah dengan disyariatkan sembahyang lima waktu adalah selama Sembilan tahun. Dua kalimah syahadah mempunyai makna yang mendalam. “tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah” bukanlah makna kalimah syahadah bahkan ianya hanyalah terjemahan daripada bahasa arab kepada bahasa melayu sahaja. Ini bukanlah yang dikehendaki pada syarak terhadap muslim untuk mengetahuinya bahkan wajib mengetahuinya secara lebih mendalam lagi. Telah berkata Syeikh Sanusi Rahimahullahu Ta’ala, didalam syarah kitabnya Ummul Barahain, وقد نصّ الأئمة على انّه لا بدّ من فهم معناها والاّ لم ينتفع بها صاحبها في الانقاذ من الخلود في النّار Maksudnya : “ Dan sesungguhnya segala imam mujtahid ikutan kita telah mengkhabarkan bahawa wajib mengetahui, memahami dan mengakui makna dua kalimah syahadah itu. Dan jika tidak memahaminya maka, orang melafazkan dua kalimah syahadah itu tidak mendapat manfaat daripadanya iaitu kekal didalam neraka”. Ini disebabkan oleh dua kalimah syahadah yang berserta maknanya itu merupakan syarat sahnya keislaman seseorang. Dan tidak sah dua kalimah syahadah seseorang itu melainkan setelah mengetahui, memahami dan mengetahui makna syahadah yang sebenar . Telah berkata Syeikh Muhammad Pajiji didalam kitabnya Hasyiah Sanusi, لأن العلماء رضى الله عنهم قد اتّفقوا على أنه من جهل معناها لا حظّ له في الأسلام بل هو من الكفّار مجوسى لا تؤكل كل ذبيحته ولا تحل مناكحته لا يرث ولا يورث Maksudnya : kerana bahawasanya sekalian ulama’ yang diredhai oleh Allah Ta’ala sesungguhnya telah muafakatlah sekalian mereka itu, bahawasanya sesiapa yang jahil yakni tidak mengetahui makna dua kalimah syahadah itu nescaya tidak sahlah islamnya yakni masih belum islam, tetapi ialah kafir majusi. Tidak boleh memakan sembelihannya, tidak sah berkahwin dengannya, dan tidak dia tidak boleh menerima harta pusaka serta diboleh memberi pusaka kepada kaum kerabatnya yang islam. ومن لم يعلم معناها فهو كافر مخلّد في النّار وان صلى وصام رمضان وحج بيت الله الحرام Maksudnya : “Dan sesiapa yang tidak mengetahui makna dua kalimah syahadah itu maka dia kafir, kekal didalam api neraka dan jika dia sembahyang, puasa pada bulan ramadhan, mengerjakan haji ke Baitullahil Haram sekalipun”. Ini kerana, sesungguhnya apabila tidak mengetahui makna dua kalimah syahadah maka tidak sahlah keislamannya. Dan jika hendak mengetahui akan makna dua kalimah syahadah tersebut hendaklah mengenal atau makrifah Allah terlebih dahulu kerana ia merupakan jalan pada mengetahui akan makna sebenar dua kalimah syahadah. Sebagaimana kata Imam Al-Ghazali Rahimahullahu Ta’ala : لا تصح العبادة الاّ بعد معرفة المعبود Maksudnya : tidak sahlah segala ibadah yang dilakukan oleh seseorang melainkan selepas dia mengenal siapa yang disembah olehnya yakni Allah Ta’ala. Telah sepakat para ulama’ Ahlus Sunnah Wal Jama’ah juga bahawa : اوّل الدّين معرفة الله Maksudnya : perkara yang utama pada agama adalah mengenal Allah Ta’ala. Setiap muslim hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengetahui dan memahami makna dua kalimah syahadah tersebut.

Saturday, July 2, 2011

Subhanallah...Salam Israk Mikraj


Al-ISRA’

Ketahuilah bahawa Isra’ merupakan perkara yang telah sabit (tetap) berdasarkan nas Al-Quran. Berdasarkan dari firman Allah ta’ala yang bermaksud :
“ Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjid Al-Haram menuju ke masjid Al-Aqso yang telah Kami berkati sekelilingnya untuk Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan) Kami, dan sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat ”.

Maka wajib beriman bahawa Allah ta’ala telah memperjalankan (mengisra’kan) Nabi Muhammad pada waktu malam dari bumi Mekah ke masjid Al-Aqso dan ulama islam dari kalangan ulama Salaf hakiki, Khalaf, para Muhaddith, para Mutakallimin, para Mufassirin, para Fuqoha dan ulama-ulama islam yang lain telah mempersepakati bahawa berlakunya peristiawa Isra’ terhadap Nabi Muhammad itu adalah dengan ruh dan jasab baginda, dan bukanlah suatu mimpi.
Al-Mi’raj
Mikraj merupakan perjalanan yang dimulai dari masjid Al-Aqso di Palestin hingga ke langit yang ketujuh dengan menaiki tangga yang terpaut di antara langit dan bumi mengunakan anak tangga yang diperbuat daripada emas dan perak. Antara tujuan diMi’rajkan Nabi ke langit adalah untuk diperlihatkan keajaiban di alam atas dan bukannya untuk bertemu dengan Allah kerana Allah wujud tanpa tempat.

Saturday, June 11, 2011

Senyum : )

Terbaru dari blog ini...Senyum : )
-> menyiarkan karya yang berbentuk santai tetapi ilmiah dan ada pengajaran daripadanya...
-> karya yang tersiar daripada ubahsuai daripada blogger ini sendiri atau petikan daripada mana-mana bahan (akan dinyatakan sumbernya) atau diperoleh daripada penulis-penulis lama dan baru yang menghasilkan karya mereka.


......dan ini yang pertama......

Senyum : ) ---> Takbir!!!

Di hospital, seorang lelaki mundar mandir menunggu kelahiran anak sulongnya lahir. Waa… waa… weeekk… maka lahirlah….
Lelaki itu melompat gembira dan mendapatkan anaknya dan berkata, “ ala…bucu,bucu” . si isteri menyuruh suaminya azan pada telinga bayi itu.
Lelaki itu berpeluh kerana sudah lama dia tidak azan. Namun dia kontrol macho dgn cuba meniru apa yang didengar dalam televisyen. Dengan syoknya dia bertakbir….
Kebetulan perempuan cina tua melalui kawasan itu lalu berkata , “ Haiya… mau raya lagi kaa, hari itu sudah raya maa….” . terkejut lelaki itu, rupa-rupanya dia takbir raya…

:diubahsuai oleh blogger

Friday, May 20, 2011

Mengenali Imam Asy'ari Pelopor Ahlus Sunnah Wal Jamaah

Akhir zaman ini, apabila disebut Imam Al-Asy'ari dan Imam Al-Manturidi. Ramai yang tidak mengenalinya.
Ini adalah secebis riwayat hidup Imam Asy'ari.

·  MONDAY, MAY 9, 2011 
·  PMMM_ANDALUSY 
·  SHARE 
·  TWEET
Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari (260 H - 324H @ 873 M - 935 M) pada asalnya merupakan pengikut aliran Muktazilah sehingga umurnya menjangkau 40 tahun. Namun, setelah sekian lama, menjadi tokoh Muktazilah dan sentiasa mewakili gurunyaAbu Ali al-Jubba’i di dalam banyak siri perdebatan yang diadakan, akhirnya al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari telah keluar daripada aliran Muktazilah dan kembali kepada ajaran Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah. Persoalan yang timbul adalah, apakah yang menyebabkan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari keluar daripada fahaman Muktazilah dan kembali kepada ajaran yang sebenar iaitu Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah.


Menurut fakta sejarah yang terdapat di dalam kitab-kitab para ulama’ seperti al-Hafiz Ibn Asakir al-Dimasyqi, Syamsuddin Ibn Khallikan, al-Imam Tajuddin al-Subki dan lain-lain, apabila diteliti fakta-fakta sejarah tersebut secara halus, maka kita akan dapati bahawa al-Imam Abu al-Hassan telah keluar dan berlepas diri daripada fahaman sonsang Muktazilah adalah disebabkan dua faktor:


PERTAMA:


Kerana al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari tidak bersetuju dengan pemikiran Muktazilah yang sering mendahulukan hujjah akal dalam apa jua permasalahan yang timbul. Hujah-hujah akal tersebut walaupun seakan-akan hujah yang ampuh, namun hakikatnya hujah tersebut dengan mudah dapat dipatahkan dengan hujah akal yang sama. Hal ini dapat dilihat beradasarkan beberapa sebab. Terdapat riwayat lain mengatakan bahawa sebelum al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari keluar daripada aliran songsang Muktazilah, beliau tidak keluar dari rumahnya selama lima belas hari. Kemudian pada hari Jumaat, beliau telah keluar dari rumahnya dan menuju ke Masjid Jami’ seraya naik ke atas mimbar dan berpidato:


“Sebenarnya saya telah menghilangkan diri dari kamu sekalian selama lima belas hari. Dalam tempoh tersebut, saya telah meneliti dalil-dalil ajaran (Muktazilah) yang ada. Namun, saya tidak menemui jalan keluar. Dalil yang satu tidak lebih kuat dari dalil yang lain. Maka saya memohon kepada Allah ta`ala dan sungguh Allah ta`ala telah memberikan petunjuk-Nya kepadaku untuk meyakini apa yang saya tulis di dalam beberapa kitab ini. Mulai saat ini, saya berlepas diri daripada semua ajaran yang saya yakini selama ini (Muktazilah)”.


Kemudian al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari memberi beberapa kitab yang ditulisnya itu yang kesemuanya adalah berdasarkan kepada perbahasan akidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah kepada masyarakat tersebut. Di antaranya adalah kitab al-Luma` fi al-Radd `ala Ahl al-Zaygh wa al-Bida’ iaitulah kitab yang membahaskan mengenai kekeliruan fahaman Muktazilah iaitu kitab Kasy al-Astar Wa Hatk al-Asrar dan beberapa buah kitab yang lain. Setelah kitab-kitab tersebut dibaca oleh para ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah daripada kalangan ahli hadith dan ahli fiqh, maka mereka mengambil isinya, meyakini akan kehebatan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari dan menjadikannya sebagai ikutan.[1]

Pertembungan pemikiran al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari dengan fahaman songsang Muktazilah tersebut dapat juga dilihat dengan memerhatikan riwayat lain yang telah merekodkan perdebatan yang berlaku di antara al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari dengan bekas gurunya iaitu Abu Ali al-Jubba’i. Pada suatu ketika al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari telah berdebat dengan al-Jubba’i,


Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari, berkata:
“Apakah pendapat kamu berhubung nasib tiga orang yang telah meninggal dunia, pertamanya mukmin, yang keduanya orang kafir dan yang satu lagi adalah kanak-kanak?”
Al-Jubba’i menjawab:
“Orang mukmin akan memperoleh darjat yang tinggi, sementara orang kafir akan celaka manakala kanak-kanak tersebut akan selamat”.
Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari berkata:
“Adakah mungkin kanak-kanak tersebut memohon kepada Allah supaya dikurniakan darjat yang tinggi kepadanya?”.
Al-Jubba’i menjawab:
Oh, itu tidak mungkin kerana Allah akan berfirman kepada anak kecil itu, “Orang mukmin itu memperolehi darjat yang tinggi disebabkan amalnya, sedangkan kamu belum sempat beramal. Jadi kamu tidak layak untuk memperolehi darjat itu”.
Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari berkata:
Bagaimana pula sekiranya kanak-kanak tersebut memohon kepada Allah dengan berkata, “Tuhan, yang demikian itu bukan salahku. Seandainya Engkau mengurniakan umur yang panjang, tentu aku akan beramal seperti orang mukmin itu”.
Al-Jubba’i menjawab:
“Oh, itu tidak boleh, Allah akan menjawab, “Oh, bukan begitu, kerana Aku telah mengetahui bahawa sekiranya kamu diberikan umur yang panjang, maka kamu akan derhaka, sehingga kamu akan diseksa. Oleh itu, Aku mematikan kamu sewaktu engkau kecil sebelum kamu mencapai usia taklifi (iaitu wajib mengikut perintah Allah)”.
Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari berkata:
“Bagaimana pula seandainya orang kafir itu memohon kepada Allah dengan berkata,
“Tuhan, Engkau mengetahui masa depan kanak-kanak tersebut dan juga masa depanku. Tetapi mengapa Engkau tidak mematikan aku sewaktu kecil dahulu, sehingga aku dapat digolongkan dalam golongan orang yang selamat seperti kanak-kanak itu, dan mengapa Engkau biarkan aku hidup hingga dewasa sehingga aku menjadi orang kafir dan akhirnya aku diseksa seperti sekarang ini?”.
Apabila mendengar pertanyaan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari ini, maka al-Jubba’i menghadapi jalan buntu dan tidak mampu memberikan jawapan. Al-Jubba’i hanya berkata:
“Kamu hanya ingin merosakkan keyakinan yang telah sedia ada”.
Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari berkata:
“Aku tidak bermaksud untuk merosakkan keyakinan yang selama ini anda yakini, akan tetapi, guru tidak mampu menjawab pertanyaanku”.


KEDUA:


Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari telah bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam pada permulaan bulan Ramadhan. Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari tidur dan bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam.  Baginda berkata: “Wahai Ali, hulurkanlah bantuan terhadap pendapat-pendapat yang diriwayatkan dariku, kerana yang demikian itu adalah yang benar”. Setelah terjaga daripada tidurnya, al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari telah merasakan mimpi tersebut sangat berat dalam fikirannya. Beliau terus merenung tentang apa yang dialaminya dalam mimpi tersebut. Pada pertengahan bulan Ramadhan, sekali lagi beliau bermimpi bertemu dengan Rasullah sallallahu`alaihi wasallam, dan baginda telah bersabda:
“Apakah yang telah kamu lakukan berhubung perintahku dahulu? Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari berkata: “Aku telah memberikan pengertian yang benar terhadap pendapat-pendapat yang diriwayatkan darimu”. Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam berkata: “Hulurkanlah bantuan terhadap pendapat-pendapat yang diriwayatkan dariku, kerana yang demikian itu adalah benar”.


Setelah terjaga daripada tidurnya, al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari berasa sangat berat dengan mimpi tersebut, sehingga beliau terfikir untuk meninggalkan ilmu kalam. Beliau akan mengikuti hadith dan terus membaca al-Quran. Namun, pada malam 27 Ramadhan, keadaannya tidak seperti biasa, beliau berasa mengantuk yang teramat sangat, sehingga beliau tertidur dengan rasa kesal di dalam hatinya, kerana kebiasaannya beliau tidak akan tidur malam semata-mata untuk beribadah kepada Allah ta`ala. Di dalam tidurnya itu, beliau telah bermimpi bertemu dengan Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam untuk kali ketiganya.
Nabi sallallahu`alaihi wasallam bersabda: “Apakah yang telah kamu lakukan berhubung perintahku dahulu? Ia menjawab: “Aku telah meninggalkan ilmu kalam, dan aku memberi tumpuan dengan tekun kepada al-Quran dan al-Hadith”.
Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda: “Aku tidak menyuruhmu meninggalkan ilmu kalam, tetapi aku hanya memerintahkan kamu supaya menolong pendapat-pendapat yang diriwayatkan dariku, kerana yang demikian itu adalah benar”.
Ia menjawab: “Wahai Rasulullah, bagaimana mungkin aku mampu meninggalkan mazhab yang telah aku ketahui masalah-masalah dan dalil-dalilnya sejak tiga puluh tahun yang lalu hanya kerana mimpi yang aku alami?”.
Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam berkata: “Seandainya aku tidak tahu bahawa Allah akan menolongmu dengan pertolongan-Nya, tentu aku akan menjelaskan kepadamu semua jawapan terhadap masalah-masalah (ajaran Muktazilah) tersebut. Bersungguh-sungguhlah kamu dalam masalah ini, Allah akan menolongmu dengan pertolongan-Nya”. Setelah bangun daripada tidur, al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari berkata: “Selain daripada kebenaran pasti yang lainnya hanya kesesatan”. Lalu beliau mulai membela hadith-hadith yang berkaitan dengan ru’yah (melihat Allah di hari akhirat), syafaat dan lain-lain. Selepas itu, al-Imam Abu al-Hassan al- Asy`ari ternyata mampu memaparkan kajian-kajian dan dalil-dalil yang belum pernah dipelajarinya dari seorang guru, ia tidak dapat dibantah oleh pihak lawan dan belum pernah dibacanya walau di dalam sesuatu kitab.[2]




AKTIVITI BARU AL-IMAM ABU AL-HASSAN AL-ASY`ARI SETELAH BERTAUBAT DARIPADA FAHAMAN SONGSANG MUKTAZILAH


Ketika al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari berfahaman Muktazilah, aktiviti beliau hanya terhad kepada mengarang kitab-kitab yang membela ajaran sesat Muktazilah. Dan kadang-kadang beliau mewakili gurunya Abu Ali al-Jubba’i di dalam siri-siri perdebatan menghadapi tokoh-tokoh selain Muktazilah. Namun, setelah al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari keluar daripada fahaman Muktazilah dan kembali kepada ajaran Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah, aktiviti yang beliau lakukan semakin bertambah. Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari telah mengisi masanya dengan mengajar ilmu akidah di Masjid Jami’ di Kota Basrah yang dipenuhi golongan pelajar dari pelbagai penjuru dunia.[3]


Di samping itu, beliau juga telah menghabiskan masanya dengan menjawab pelbagai pertanyaan yang datang dari pelbagai daerah. Selain itu, beliau juga turut mengisi masanya dengan menghadiri majlis-majlis ahli bid`ah dan melakukan perdebatan dengan mereka sedangkan perbuatan ini belum pernah dilakukan oleh ulama’ sunni sebelumnya.
Ketika zaman pemerintahan khalifah al-Makmun, al-Mu’tashim dan al-Wathiq, kaum Muktazilah telah berjaya menjalinkan hubungan dengan khalifah untuk menyebarkan fahaman Muktazilah tentang kemakhlukan al-Quran melalui kekuasaan khalifah tersebut, sehingga berlaku tragedi dalam rakaman sejarah yang disebut sebagai mihnah al-Quran. Pada ketika itu, al-Imam Ahmad bin Hanbal, merupakan tokoh yang mewakili golongan sunni pada saat itu, namun disebabkan beliau didorong oleh sifat wara’ dan berhati-hati, maka beliau enggan untuk berdepan dengan puak Muktazilah di dalam perdebatan yang dilakukan secara terbuka. Hal tersebut telah dijadikan peluang oleh golongan Muktazilah untuk menyebarkan fahaman songsang mereka kepada pemimpin umat Islam pada ketika itu, bahawa kaum sunni iaitu Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah tidak mempunyai dalil untuk mempertahankan hujah mereka dalam perdebatan terbuka dengan golongan Muktazilah. Kaum Muktazilah juga telah menyebarkan fahaman bahawa kaum sunni tidak memiliki hujjah yang kuat untuk mempertahankan pendapat mereka. Dengan fitnah yang disebarkan oleh golongan Muktazilah tersebut, maka para pemimpin pada zaman tersebut berjaya diyakinkan bahawa ajaran Muktazilah memang benar dan memiliki hujah-hujah yang kuat. Akhirnya, terjadilah pemaksaan ke atas para ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah seperti al-Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain untuk mengakui bahawasanya al-Quran itu adalah makhluk. Bahkan pemerintah pada ketika itu telah memaksa masyarakat untuk turut mengakui bahawasanya al-Quran itu adalah makhluk sehingga jawatan Hakim, Mufti dan saksi di dalam pengadilan hanya diberikan kepada mereka yang mengakui bahawa al-Quran itu adalah makhluk.


Hakikatnya pada ketika itu, telah wujud pakar-pakar di dalam bidang agama seperti Abdul Aziz bin Yahya al-Kinani, al-Harith bin Asad al-Muhasibi, Abdullah bin Sa`id bin Kullab dan lain-lain lagi yang mampu berdepan dengan golongan Muktazilah di dalam siri perdebatan yang diadakan. Namun, disebabkan mereka menjalani kehidupan zuhud dan sufi, maka mereka enggan untuk duduk bersama di dalam satu majlis dengan golongan Muktazilah yang dianggap sebagai ahli bid`ah untuk tujuan perdebatan. Mereka membantah ajaran songsang Muktazilah dengan menulis buku-buku yang berisi bantahan terhadap hujjah-hujjah yang dikemukakan oleh puak Muktazilah tersebut. Akhirnya, pada masa al-Qadhi Ismail al-Basri (199-282 H/814-896 M), yang memegang jawatan sebagai Hakim agung di Baghdad, al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari selaku yang banyak menulis karya ilmu agama mengikut faham Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah dan banyak menyusun kitab-kitab, membantah golongan Muktazilah telah tampil mematahkan semua hujah yang dikemukakan oleh golongan Muktazilah, sekaligus menghancurkan kekuatan mereka seperti kebiasaan yang dilakukan oleh al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari, beliau telah hadir di dalam majlis-majlis yang diadakan oleh golongan Muktazilah dan berdebat dengan mereka sehingga akhirnya, pada suatu hari ada orang bertanya kepada al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari: “Mengapa anda telah bergaul dengan ahli bid`ah (Muktazilah) dan menghadiri majlis-majlis mereka? Bukankah anda diperintahkan untuk menjauhi mereka?”, al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari seraya menjawab: “Mereka itu terdiri daripada orang-orang yang memiliki kedudukan penting disisi Gabenor dan Hakim. Dengan posisi mereka yang penting itu, mereka tidak mungkin datang menemuiku. Apabila mereka tidak mungkin datang kepadaku, dalam masa yang sama aku juga tidak pergi menemui mereka, maka bagaimana mungkin kebenaran itu akan tersingkap dan dapat dibuktikan, dan bagaimana mungkin mereka akan mengetahui bawasanya Ahl al-Sunnah mempunyai pembela? Maka, oleh kerana itu dalam keadaan terpaksa aku menemui mereka untuk memperjelaskan tentang kebenaran”.[4]
Selain itu, kita melihat aqidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah yang sebenar ini masih diguna pakai sehingga ke hari ini dan inilah aqidah yang menjadi pegangan sarjana Islam. Sebagaimana yang dimaklumi, pengikut mazhab al-Asya`irah adalah terdiri dari kalangan para ilmuwan, ahli hadis dan para mujtahid. Memadailah disebut beberapa orang dari kalangan mereka.

[1] Tabyin al-Kizb al-Muftari, h. 39-40 dan Tabaqat al-Syafi`eyyah al-Kubra, juz 3, h. 219
 [2] Tabyin Kizb al-Muftari, h. 38, Wafayat al-A’yan, juz 3. h. 284 dan Tabaqat al-Syafi`eyyah al-Kubra, juz 3. h. 219.
[3] Hammudah Gharrabah(1973), Abu al-Hassan al-Asy`ari, , Cairo: Majmu’ al-Buhuth al-Islamiyyah, h. 68
[4] Al-Hafiz Ibn Asakir(1347 H), Tabyin Kizb al-Muftari, al-Taufiq, Dimaskus, h. 68-69




Izham Hakimi bin Redzan,
Rabat,2.00 pagi
9 Mei 2011
izhamhakimi@yahoo.com
Sebarkan....