Saturday, July 9, 2011

Kepentingan Mengetahui Makna Dua Kalimah Syahadah


Sedia maklum Rukun Islam ada lima iaitu:
1. Mengucap dua kalimah syahadah.
2. Solat lima waktu.
3. Berpuasa pada bulan Ramadhan.
4. Mengeluarkan zakat.
5. Menunaikan haji bagi yang mampu.

Disebut solat, mesti ada rukun-rukunnya. Tertinggal salah satu rukun, batallah solat. Bagaimana dengan rukun Islam pertama iaitu mengucap dua kalimah syahadah... Sudahkah kita mengetahui dan memahami rukun-rukun dan fardhu syahadah itu sendiri? Tertinggal salah satu rukun syahadah, boleh membawa batal syahadah. Nauzubillah...

KEPENTINGAN MENGETAHUI MAKNA DUA KALIMAH SYAHADAH 
Dua kalimah syahadah merupakan rukun islam yang pertama. Kewajipan mengucap dua kalimah syahadah telah disyariatkan oleh Allah Ta’ala kepada umat Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam pada seawal waktu Rasululullah dilantik menjadi Nabi dan Rasul iaitu sewaktu Rasulullah berumur 40 tahun. Jarak antara disyariatkan dua kalimah syahadah dengan disyariatkan sembahyang lima waktu adalah selama Sembilan tahun. Dua kalimah syahadah mempunyai makna yang mendalam. “tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah” bukanlah makna kalimah syahadah bahkan ianya hanyalah terjemahan daripada bahasa arab kepada bahasa melayu sahaja. Ini bukanlah yang dikehendaki pada syarak terhadap muslim untuk mengetahuinya bahkan wajib mengetahuinya secara lebih mendalam lagi. Telah berkata Syeikh Sanusi Rahimahullahu Ta’ala, didalam syarah kitabnya Ummul Barahain, وقد نصّ الأئمة على انّه لا بدّ من فهم معناها والاّ لم ينتفع بها صاحبها في الانقاذ من الخلود في النّار Maksudnya : “ Dan sesungguhnya segala imam mujtahid ikutan kita telah mengkhabarkan bahawa wajib mengetahui, memahami dan mengakui makna dua kalimah syahadah itu. Dan jika tidak memahaminya maka, orang melafazkan dua kalimah syahadah itu tidak mendapat manfaat daripadanya iaitu kekal didalam neraka”. Ini disebabkan oleh dua kalimah syahadah yang berserta maknanya itu merupakan syarat sahnya keislaman seseorang. Dan tidak sah dua kalimah syahadah seseorang itu melainkan setelah mengetahui, memahami dan mengetahui makna syahadah yang sebenar . Telah berkata Syeikh Muhammad Pajiji didalam kitabnya Hasyiah Sanusi, لأن العلماء رضى الله عنهم قد اتّفقوا على أنه من جهل معناها لا حظّ له في الأسلام بل هو من الكفّار مجوسى لا تؤكل كل ذبيحته ولا تحل مناكحته لا يرث ولا يورث Maksudnya : kerana bahawasanya sekalian ulama’ yang diredhai oleh Allah Ta’ala sesungguhnya telah muafakatlah sekalian mereka itu, bahawasanya sesiapa yang jahil yakni tidak mengetahui makna dua kalimah syahadah itu nescaya tidak sahlah islamnya yakni masih belum islam, tetapi ialah kafir majusi. Tidak boleh memakan sembelihannya, tidak sah berkahwin dengannya, dan tidak dia tidak boleh menerima harta pusaka serta diboleh memberi pusaka kepada kaum kerabatnya yang islam. ومن لم يعلم معناها فهو كافر مخلّد في النّار وان صلى وصام رمضان وحج بيت الله الحرام Maksudnya : “Dan sesiapa yang tidak mengetahui makna dua kalimah syahadah itu maka dia kafir, kekal didalam api neraka dan jika dia sembahyang, puasa pada bulan ramadhan, mengerjakan haji ke Baitullahil Haram sekalipun”. Ini kerana, sesungguhnya apabila tidak mengetahui makna dua kalimah syahadah maka tidak sahlah keislamannya. Dan jika hendak mengetahui akan makna dua kalimah syahadah tersebut hendaklah mengenal atau makrifah Allah terlebih dahulu kerana ia merupakan jalan pada mengetahui akan makna sebenar dua kalimah syahadah. Sebagaimana kata Imam Al-Ghazali Rahimahullahu Ta’ala : لا تصح العبادة الاّ بعد معرفة المعبود Maksudnya : tidak sahlah segala ibadah yang dilakukan oleh seseorang melainkan selepas dia mengenal siapa yang disembah olehnya yakni Allah Ta’ala. Telah sepakat para ulama’ Ahlus Sunnah Wal Jama’ah juga bahawa : اوّل الدّين معرفة الله Maksudnya : perkara yang utama pada agama adalah mengenal Allah Ta’ala. Setiap muslim hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengetahui dan memahami makna dua kalimah syahadah tersebut.

No comments:

Post a Comment