Friday, May 20, 2011

Mengenali Imam Asy'ari Pelopor Ahlus Sunnah Wal Jamaah

Akhir zaman ini, apabila disebut Imam Al-Asy'ari dan Imam Al-Manturidi. Ramai yang tidak mengenalinya.
Ini adalah secebis riwayat hidup Imam Asy'ari.

·  MONDAY, MAY 9, 2011 
·  PMMM_ANDALUSY 
·  SHARE 
·  TWEET
Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari (260 H - 324H @ 873 M - 935 M) pada asalnya merupakan pengikut aliran Muktazilah sehingga umurnya menjangkau 40 tahun. Namun, setelah sekian lama, menjadi tokoh Muktazilah dan sentiasa mewakili gurunyaAbu Ali al-Jubba’i di dalam banyak siri perdebatan yang diadakan, akhirnya al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari telah keluar daripada aliran Muktazilah dan kembali kepada ajaran Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah. Persoalan yang timbul adalah, apakah yang menyebabkan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari keluar daripada fahaman Muktazilah dan kembali kepada ajaran yang sebenar iaitu Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah.


Menurut fakta sejarah yang terdapat di dalam kitab-kitab para ulama’ seperti al-Hafiz Ibn Asakir al-Dimasyqi, Syamsuddin Ibn Khallikan, al-Imam Tajuddin al-Subki dan lain-lain, apabila diteliti fakta-fakta sejarah tersebut secara halus, maka kita akan dapati bahawa al-Imam Abu al-Hassan telah keluar dan berlepas diri daripada fahaman sonsang Muktazilah adalah disebabkan dua faktor:


PERTAMA:


Kerana al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari tidak bersetuju dengan pemikiran Muktazilah yang sering mendahulukan hujjah akal dalam apa jua permasalahan yang timbul. Hujah-hujah akal tersebut walaupun seakan-akan hujah yang ampuh, namun hakikatnya hujah tersebut dengan mudah dapat dipatahkan dengan hujah akal yang sama. Hal ini dapat dilihat beradasarkan beberapa sebab. Terdapat riwayat lain mengatakan bahawa sebelum al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari keluar daripada aliran songsang Muktazilah, beliau tidak keluar dari rumahnya selama lima belas hari. Kemudian pada hari Jumaat, beliau telah keluar dari rumahnya dan menuju ke Masjid Jami’ seraya naik ke atas mimbar dan berpidato:


“Sebenarnya saya telah menghilangkan diri dari kamu sekalian selama lima belas hari. Dalam tempoh tersebut, saya telah meneliti dalil-dalil ajaran (Muktazilah) yang ada. Namun, saya tidak menemui jalan keluar. Dalil yang satu tidak lebih kuat dari dalil yang lain. Maka saya memohon kepada Allah ta`ala dan sungguh Allah ta`ala telah memberikan petunjuk-Nya kepadaku untuk meyakini apa yang saya tulis di dalam beberapa kitab ini. Mulai saat ini, saya berlepas diri daripada semua ajaran yang saya yakini selama ini (Muktazilah)”.


Kemudian al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari memberi beberapa kitab yang ditulisnya itu yang kesemuanya adalah berdasarkan kepada perbahasan akidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah kepada masyarakat tersebut. Di antaranya adalah kitab al-Luma` fi al-Radd `ala Ahl al-Zaygh wa al-Bida’ iaitulah kitab yang membahaskan mengenai kekeliruan fahaman Muktazilah iaitu kitab Kasy al-Astar Wa Hatk al-Asrar dan beberapa buah kitab yang lain. Setelah kitab-kitab tersebut dibaca oleh para ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah daripada kalangan ahli hadith dan ahli fiqh, maka mereka mengambil isinya, meyakini akan kehebatan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari dan menjadikannya sebagai ikutan.[1]

Pertembungan pemikiran al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari dengan fahaman songsang Muktazilah tersebut dapat juga dilihat dengan memerhatikan riwayat lain yang telah merekodkan perdebatan yang berlaku di antara al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari dengan bekas gurunya iaitu Abu Ali al-Jubba’i. Pada suatu ketika al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari telah berdebat dengan al-Jubba’i,


Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari, berkata:
“Apakah pendapat kamu berhubung nasib tiga orang yang telah meninggal dunia, pertamanya mukmin, yang keduanya orang kafir dan yang satu lagi adalah kanak-kanak?”
Al-Jubba’i menjawab:
“Orang mukmin akan memperoleh darjat yang tinggi, sementara orang kafir akan celaka manakala kanak-kanak tersebut akan selamat”.
Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari berkata:
“Adakah mungkin kanak-kanak tersebut memohon kepada Allah supaya dikurniakan darjat yang tinggi kepadanya?”.
Al-Jubba’i menjawab:
Oh, itu tidak mungkin kerana Allah akan berfirman kepada anak kecil itu, “Orang mukmin itu memperolehi darjat yang tinggi disebabkan amalnya, sedangkan kamu belum sempat beramal. Jadi kamu tidak layak untuk memperolehi darjat itu”.
Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari berkata:
Bagaimana pula sekiranya kanak-kanak tersebut memohon kepada Allah dengan berkata, “Tuhan, yang demikian itu bukan salahku. Seandainya Engkau mengurniakan umur yang panjang, tentu aku akan beramal seperti orang mukmin itu”.
Al-Jubba’i menjawab:
“Oh, itu tidak boleh, Allah akan menjawab, “Oh, bukan begitu, kerana Aku telah mengetahui bahawa sekiranya kamu diberikan umur yang panjang, maka kamu akan derhaka, sehingga kamu akan diseksa. Oleh itu, Aku mematikan kamu sewaktu engkau kecil sebelum kamu mencapai usia taklifi (iaitu wajib mengikut perintah Allah)”.
Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari berkata:
“Bagaimana pula seandainya orang kafir itu memohon kepada Allah dengan berkata,
“Tuhan, Engkau mengetahui masa depan kanak-kanak tersebut dan juga masa depanku. Tetapi mengapa Engkau tidak mematikan aku sewaktu kecil dahulu, sehingga aku dapat digolongkan dalam golongan orang yang selamat seperti kanak-kanak itu, dan mengapa Engkau biarkan aku hidup hingga dewasa sehingga aku menjadi orang kafir dan akhirnya aku diseksa seperti sekarang ini?”.
Apabila mendengar pertanyaan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari ini, maka al-Jubba’i menghadapi jalan buntu dan tidak mampu memberikan jawapan. Al-Jubba’i hanya berkata:
“Kamu hanya ingin merosakkan keyakinan yang telah sedia ada”.
Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari berkata:
“Aku tidak bermaksud untuk merosakkan keyakinan yang selama ini anda yakini, akan tetapi, guru tidak mampu menjawab pertanyaanku”.


KEDUA:


Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari telah bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam pada permulaan bulan Ramadhan. Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari tidur dan bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam.  Baginda berkata: “Wahai Ali, hulurkanlah bantuan terhadap pendapat-pendapat yang diriwayatkan dariku, kerana yang demikian itu adalah yang benar”. Setelah terjaga daripada tidurnya, al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari telah merasakan mimpi tersebut sangat berat dalam fikirannya. Beliau terus merenung tentang apa yang dialaminya dalam mimpi tersebut. Pada pertengahan bulan Ramadhan, sekali lagi beliau bermimpi bertemu dengan Rasullah sallallahu`alaihi wasallam, dan baginda telah bersabda:
“Apakah yang telah kamu lakukan berhubung perintahku dahulu? Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari berkata: “Aku telah memberikan pengertian yang benar terhadap pendapat-pendapat yang diriwayatkan darimu”. Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam berkata: “Hulurkanlah bantuan terhadap pendapat-pendapat yang diriwayatkan dariku, kerana yang demikian itu adalah benar”.


Setelah terjaga daripada tidurnya, al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari berasa sangat berat dengan mimpi tersebut, sehingga beliau terfikir untuk meninggalkan ilmu kalam. Beliau akan mengikuti hadith dan terus membaca al-Quran. Namun, pada malam 27 Ramadhan, keadaannya tidak seperti biasa, beliau berasa mengantuk yang teramat sangat, sehingga beliau tertidur dengan rasa kesal di dalam hatinya, kerana kebiasaannya beliau tidak akan tidur malam semata-mata untuk beribadah kepada Allah ta`ala. Di dalam tidurnya itu, beliau telah bermimpi bertemu dengan Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam untuk kali ketiganya.
Nabi sallallahu`alaihi wasallam bersabda: “Apakah yang telah kamu lakukan berhubung perintahku dahulu? Ia menjawab: “Aku telah meninggalkan ilmu kalam, dan aku memberi tumpuan dengan tekun kepada al-Quran dan al-Hadith”.
Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda: “Aku tidak menyuruhmu meninggalkan ilmu kalam, tetapi aku hanya memerintahkan kamu supaya menolong pendapat-pendapat yang diriwayatkan dariku, kerana yang demikian itu adalah benar”.
Ia menjawab: “Wahai Rasulullah, bagaimana mungkin aku mampu meninggalkan mazhab yang telah aku ketahui masalah-masalah dan dalil-dalilnya sejak tiga puluh tahun yang lalu hanya kerana mimpi yang aku alami?”.
Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam berkata: “Seandainya aku tidak tahu bahawa Allah akan menolongmu dengan pertolongan-Nya, tentu aku akan menjelaskan kepadamu semua jawapan terhadap masalah-masalah (ajaran Muktazilah) tersebut. Bersungguh-sungguhlah kamu dalam masalah ini, Allah akan menolongmu dengan pertolongan-Nya”. Setelah bangun daripada tidur, al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari berkata: “Selain daripada kebenaran pasti yang lainnya hanya kesesatan”. Lalu beliau mulai membela hadith-hadith yang berkaitan dengan ru’yah (melihat Allah di hari akhirat), syafaat dan lain-lain. Selepas itu, al-Imam Abu al-Hassan al- Asy`ari ternyata mampu memaparkan kajian-kajian dan dalil-dalil yang belum pernah dipelajarinya dari seorang guru, ia tidak dapat dibantah oleh pihak lawan dan belum pernah dibacanya walau di dalam sesuatu kitab.[2]




AKTIVITI BARU AL-IMAM ABU AL-HASSAN AL-ASY`ARI SETELAH BERTAUBAT DARIPADA FAHAMAN SONGSANG MUKTAZILAH


Ketika al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari berfahaman Muktazilah, aktiviti beliau hanya terhad kepada mengarang kitab-kitab yang membela ajaran sesat Muktazilah. Dan kadang-kadang beliau mewakili gurunya Abu Ali al-Jubba’i di dalam siri-siri perdebatan menghadapi tokoh-tokoh selain Muktazilah. Namun, setelah al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari keluar daripada fahaman Muktazilah dan kembali kepada ajaran Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah, aktiviti yang beliau lakukan semakin bertambah. Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari telah mengisi masanya dengan mengajar ilmu akidah di Masjid Jami’ di Kota Basrah yang dipenuhi golongan pelajar dari pelbagai penjuru dunia.[3]


Di samping itu, beliau juga telah menghabiskan masanya dengan menjawab pelbagai pertanyaan yang datang dari pelbagai daerah. Selain itu, beliau juga turut mengisi masanya dengan menghadiri majlis-majlis ahli bid`ah dan melakukan perdebatan dengan mereka sedangkan perbuatan ini belum pernah dilakukan oleh ulama’ sunni sebelumnya.
Ketika zaman pemerintahan khalifah al-Makmun, al-Mu’tashim dan al-Wathiq, kaum Muktazilah telah berjaya menjalinkan hubungan dengan khalifah untuk menyebarkan fahaman Muktazilah tentang kemakhlukan al-Quran melalui kekuasaan khalifah tersebut, sehingga berlaku tragedi dalam rakaman sejarah yang disebut sebagai mihnah al-Quran. Pada ketika itu, al-Imam Ahmad bin Hanbal, merupakan tokoh yang mewakili golongan sunni pada saat itu, namun disebabkan beliau didorong oleh sifat wara’ dan berhati-hati, maka beliau enggan untuk berdepan dengan puak Muktazilah di dalam perdebatan yang dilakukan secara terbuka. Hal tersebut telah dijadikan peluang oleh golongan Muktazilah untuk menyebarkan fahaman songsang mereka kepada pemimpin umat Islam pada ketika itu, bahawa kaum sunni iaitu Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah tidak mempunyai dalil untuk mempertahankan hujah mereka dalam perdebatan terbuka dengan golongan Muktazilah. Kaum Muktazilah juga telah menyebarkan fahaman bahawa kaum sunni tidak memiliki hujjah yang kuat untuk mempertahankan pendapat mereka. Dengan fitnah yang disebarkan oleh golongan Muktazilah tersebut, maka para pemimpin pada zaman tersebut berjaya diyakinkan bahawa ajaran Muktazilah memang benar dan memiliki hujah-hujah yang kuat. Akhirnya, terjadilah pemaksaan ke atas para ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah seperti al-Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain untuk mengakui bahawasanya al-Quran itu adalah makhluk. Bahkan pemerintah pada ketika itu telah memaksa masyarakat untuk turut mengakui bahawasanya al-Quran itu adalah makhluk sehingga jawatan Hakim, Mufti dan saksi di dalam pengadilan hanya diberikan kepada mereka yang mengakui bahawa al-Quran itu adalah makhluk.


Hakikatnya pada ketika itu, telah wujud pakar-pakar di dalam bidang agama seperti Abdul Aziz bin Yahya al-Kinani, al-Harith bin Asad al-Muhasibi, Abdullah bin Sa`id bin Kullab dan lain-lain lagi yang mampu berdepan dengan golongan Muktazilah di dalam siri perdebatan yang diadakan. Namun, disebabkan mereka menjalani kehidupan zuhud dan sufi, maka mereka enggan untuk duduk bersama di dalam satu majlis dengan golongan Muktazilah yang dianggap sebagai ahli bid`ah untuk tujuan perdebatan. Mereka membantah ajaran songsang Muktazilah dengan menulis buku-buku yang berisi bantahan terhadap hujjah-hujjah yang dikemukakan oleh puak Muktazilah tersebut. Akhirnya, pada masa al-Qadhi Ismail al-Basri (199-282 H/814-896 M), yang memegang jawatan sebagai Hakim agung di Baghdad, al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari selaku yang banyak menulis karya ilmu agama mengikut faham Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah dan banyak menyusun kitab-kitab, membantah golongan Muktazilah telah tampil mematahkan semua hujah yang dikemukakan oleh golongan Muktazilah, sekaligus menghancurkan kekuatan mereka seperti kebiasaan yang dilakukan oleh al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari, beliau telah hadir di dalam majlis-majlis yang diadakan oleh golongan Muktazilah dan berdebat dengan mereka sehingga akhirnya, pada suatu hari ada orang bertanya kepada al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari: “Mengapa anda telah bergaul dengan ahli bid`ah (Muktazilah) dan menghadiri majlis-majlis mereka? Bukankah anda diperintahkan untuk menjauhi mereka?”, al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari seraya menjawab: “Mereka itu terdiri daripada orang-orang yang memiliki kedudukan penting disisi Gabenor dan Hakim. Dengan posisi mereka yang penting itu, mereka tidak mungkin datang menemuiku. Apabila mereka tidak mungkin datang kepadaku, dalam masa yang sama aku juga tidak pergi menemui mereka, maka bagaimana mungkin kebenaran itu akan tersingkap dan dapat dibuktikan, dan bagaimana mungkin mereka akan mengetahui bawasanya Ahl al-Sunnah mempunyai pembela? Maka, oleh kerana itu dalam keadaan terpaksa aku menemui mereka untuk memperjelaskan tentang kebenaran”.[4]
Selain itu, kita melihat aqidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah yang sebenar ini masih diguna pakai sehingga ke hari ini dan inilah aqidah yang menjadi pegangan sarjana Islam. Sebagaimana yang dimaklumi, pengikut mazhab al-Asya`irah adalah terdiri dari kalangan para ilmuwan, ahli hadis dan para mujtahid. Memadailah disebut beberapa orang dari kalangan mereka.

[1] Tabyin al-Kizb al-Muftari, h. 39-40 dan Tabaqat al-Syafi`eyyah al-Kubra, juz 3, h. 219
 [2] Tabyin Kizb al-Muftari, h. 38, Wafayat al-A’yan, juz 3. h. 284 dan Tabaqat al-Syafi`eyyah al-Kubra, juz 3. h. 219.
[3] Hammudah Gharrabah(1973), Abu al-Hassan al-Asy`ari, , Cairo: Majmu’ al-Buhuth al-Islamiyyah, h. 68
[4] Al-Hafiz Ibn Asakir(1347 H), Tabyin Kizb al-Muftari, al-Taufiq, Dimaskus, h. 68-69




Izham Hakimi bin Redzan,
Rabat,2.00 pagi
9 Mei 2011
izhamhakimi@yahoo.com
Sebarkan.... 

No comments:

Post a Comment