Tuesday, July 19, 2011

Kenapa Tidak Minum Terus Daripada Bekasnya


Diambil terus daripada:
http://jomfaham.blogspot.com/2011/03/mengapa-tidak-terus-minum-daripada.html

Kisahnya begini :

Suatu hari, datang seorang pemuda ke sebuah Pesantren di Indonesia bertujuan untuk bertemu dengan Kiyai di Pesantren tersebut. Maka berlakulah dialog di antara pemuda dan Kiyai di ruang tamu rumah Kiyai itu.

Pak Kiyai : Silalah duduk anak muda, siapa namamu dan dari mana asalmu?

Pemuda : Terima kasih Pak Kiyai. Nama saya Abdullah dan saya berasal dari Kampung Seberang.

Pak Kiyai : Jauh kamu bertandang ke sini, sudah tentu kamu punya hajat yang sangat besar. Apa hajatnya mana tahu mungkin saya boleh menolongmu?

Pemuda tersebut diam sebentar sambil menarik nafasnya dalam-dalam.

Pemuda : Begini Pak Kiyai, saya datang ke sini, bertujuan ingin berbincang beberapa permasalahan dengan Pak Kiyai. Pendeknya, permasalahan umat Islam sekarang. Saya ingin bertanya, mengapa Kiyai-Kiyai di kebanyakan pesantren di Indonesia, dan Tuan-Tuan Guru di Malaysia serta Pattani dan Asia umumnya sering kali mengajar murid-murid mereka dengan lebih suka mengambil kalam-kalam atau pandangan para ulama? Seringkali saya mendengar mereka akan menyebut : “ Kata al-Imam al-Syafiee, kata al-Imam Ibn Ato’illah al-Sakandari, Kata al-Imam Syaikhul Islam Zakaria al-Ansori dan lain-lain”

Mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah ? Bukankah lebih enak kalau kita mendengar seseorang tersebut menyebutkan “ Firman Allah taala di dalam al-Quran, Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis itu dan ini?”

Ulama-ulama itu juga punya kesalahan dan kekurangan. Maka mereka juga tidak lari daripada melakukan kesilapan. Maka sebaiknya kita mengambil terus daripada kalam al-Ma’sum iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Pak Kiyai mendengar segala hujah yang disampaikan oleh pemuda tersebut dengan penuh perhatian. Sedikitpun beliau tidak mencelah malah memberikan peluang bagi pemuda tersebut berbicara sepuas-puasnya. Sambil senyuman terukir di bibir Pak Kiyai, beliau bertanya kepada pemuda tersebut,

Pak Kiyai : Masih ada lagi apa yang ingin kamu persoalkan wahai Abdullah?

Pemuda : Setakat ini, itu sahaja yang ingin saya sampaikan Pak Kiyai.

Pak Kiyai : Sebelum berbicara lebih lanjut, eloknya kita minum dahulu ya. Tiga perkara yang sepatutnya disegerakan iaitu hidangan kepada tetamu , wanita yang dilamar oleh orang yang baik maka disegerakan perkahwinan mereka dan yang ketiga si mati maka perlu disegerakan urusan pengkebumiannya. Betul kan Abdullah?

Pemuda : Benar sekali Pak Kiyai .

Pak Kiyai lalu memanggil isterinya bagi menyediakan minuman pada mereka berdua. Maka beberapa detik selepas itu minuman pun sampai di hadapan mereka.

Pak Kiyai : Silakan minum Abdullah.

Sebaik dipelawa oleh Pak Kiyai, maka Abdullah pun terus mengambil bekas air tersebut lalu menuangkan perlahan-lahan ke dalam cawan yang tersedia.

Pak Kiyai terus bertanya : Abdullah, kenapa kamu tidak terus minum daripada bekasnya sahaja? Kenapa perlu dituang di dalam cawan?

Pemuda : Pak Kiyai, mana bisa saya minum terus daripada bekasnya. Bekasnya besar sekali. Maka saya tuang ke dalam cawan agar memudahkan saya meminumnya.

Pak Kiyai : Abdullah, itulah jawapan terhadap apa yang kamu persoalkan sebentar tadi. Mengapa kami tidak mengambil terus daripada al-Quran dan al-Sunnah? Ianya terlalu besar untuk kami terus minum daripadanya. Maka kami mengambil daripada apa yang telah dituang di dalam cawan para ulama. Maka ini memudahkan bagi kami untuk mengambil dan memanfaatkannya.

Benar kamu katakan bahawa mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah. Cuma persoalan kembali ingin saya lontarkan kepada kamu. Adakah kamu ingin mengatakan bahawa al-Imam al-Syafie dan para ulama yang kamu sebutkan tadi mengambil hukum selain daripada al-Quran dan al-sunnah? Adakah mereka mengambil daripada kitab Talmud atau Bible?

Pemuda : Sudah tentu mereka juga mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah.

Pak Kiyai : Kalau begitu, maka sumber pengambilan kita juga adalah daripada al-Quran dan al-Sunnah cuma dengan kefahaman daripada para ulama.

Pak Kiyai : Satu lagi gambaran yang ingin saya terangkan kepada kamu. Saya dan kamu membaca al-Quran, al-Imam al-Syafie juga membaca al-Quran bukan?

Pemuda : Sudah tentu Pak Kiyai.

Pak Kiyai : Baik, Kalau kita membaca sudah tentu kita ada memahami ayat-ayat di dalam al-Quran tersebut bukan? Al-Imam al-Syafie juga memahami ayat yang kita bacakan. Maka persoalannya , pemahaman siapa yang ingin didahulukan? Pemahaman saya dan kamu atau pemahaman al-Imam al-Syafie terhadap ayat tersebut?

Pemuda : Sudah tentu pemahaman al-Imam al-Syafie kerana beliau lebih memahami bahasa berbanding orang zaman sekarang.

Pak Kiyai : Nah, sekarang saya rasa kamu sudah jelas bukan? Hakikatnya kita semua mengambil daripada sumber yang satu iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Tiada seorang pun yang mengambil selain daripada keduanya. Cuma bezanya, kita mengambil daripada pemahaman terhadap al-Quran dan al-Sunnah tersebut daripada siapa? Sudah tentu kita akan mengambil daripada orang yang lebih dalam ilmu dan penaakulannya. Ini kerana mereka lebih wara’ dan berjaga-jaga ketika mengeluarkan ilmu.

Kamu tahu Abdullah, al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu pernah ditanya oleh seseorang ketikamana beliau sedang menaiki keldai , berapakah kaki keldai yang Imam tunggangi?

Maka al-Imam al-Syafie turun daripada keldai tersebut dan mengira kaki keldai tersebut. Selesai mengira kaki keldai berkenaan, barulah al-Imam menjawab : “ Kaki keldai yang aku tunggangi ada empat”. Orang yang bertanya tersebut merasa hairan lalu berkata “ Wahai Imam , bukankah kaki keldai itu sememangnya empat, mengapa engkau tidak terus menjawabnya?” al-Imam al-Syafiee menjawab : “ Aku bimbang, jika aku menjawabnya tanpa melihat terlebih dahulu, tiba-tiba Allah taala hilangkan salah satu daripada kakinya maka aku sudah dikira tidak amanah di dalam memberikan jawapan”

Cuba kamu perhatikan Abdullah, betapa wara’nya al-Imam al-Syafie ketika menjawab persoalan berkaitan dunia. Apatah lagi kalau berkaitan dengan agamanya?

Al-Imam Malik radhiyallahu anhu pernah didatangi oleh seorang pemuda di dalam majlisnya di Madinah al-Munawwarah. Pemuda tersebut mengatakan bahawa dia datang daripada negeri yang jauhnya 6 bulan perjalanan daripada Madinah. Pemuda itu datang untuk bertanyakan satu masalah yang berlaku di tempatnya.
Al-Imam Malik radhiyallahu anhu, mengatakan bahawa “ Maaf, aku tidak pandai untuk menyelesaikannya”
Pemuda tersebut hairan dengan jawapan Imam Malik, dan dia bertanya : “ Bagaimana aku akan menjawab nanti bilamana ditanya oleh penduduk tempatku?”

Maka kata al-Imam Malik : “ Katakan kepada mereka bahawa Malik juga tidak mengetahui bagaimana untuk menyelesaikannya”

Allah.. Cuba kamu lihat Abdullah betapa amanahnya mereka dengan ilmu. Berbeza dengan manusia zaman sekarang yang baru setahun jagung di dalam ilmu sudah mendabik dada mengaku bahawa seolah-olah mereka mengetahui segalanya.

Pemuda : MasyaAllah, terima kasih Pak Kiyai atas penjelasan yang sangat memuaskan. Saya memohon maaf atas kekasaran dan keterlanjuran bicara saya .

Pak Kiyai : Sama-sama Abdullah. Semoga kamu akan menjadi seorang yang akan membawa panji agama kelak dengan ajaran yang benar InsyaAllah.

Saturday, July 9, 2011

Kepentingan Mengetahui Makna Dua Kalimah Syahadah


Sedia maklum Rukun Islam ada lima iaitu:
1. Mengucap dua kalimah syahadah.
2. Solat lima waktu.
3. Berpuasa pada bulan Ramadhan.
4. Mengeluarkan zakat.
5. Menunaikan haji bagi yang mampu.

Disebut solat, mesti ada rukun-rukunnya. Tertinggal salah satu rukun, batallah solat. Bagaimana dengan rukun Islam pertama iaitu mengucap dua kalimah syahadah... Sudahkah kita mengetahui dan memahami rukun-rukun dan fardhu syahadah itu sendiri? Tertinggal salah satu rukun syahadah, boleh membawa batal syahadah. Nauzubillah...

KEPENTINGAN MENGETAHUI MAKNA DUA KALIMAH SYAHADAH 
Dua kalimah syahadah merupakan rukun islam yang pertama. Kewajipan mengucap dua kalimah syahadah telah disyariatkan oleh Allah Ta’ala kepada umat Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam pada seawal waktu Rasululullah dilantik menjadi Nabi dan Rasul iaitu sewaktu Rasulullah berumur 40 tahun. Jarak antara disyariatkan dua kalimah syahadah dengan disyariatkan sembahyang lima waktu adalah selama Sembilan tahun. Dua kalimah syahadah mempunyai makna yang mendalam. “tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah” bukanlah makna kalimah syahadah bahkan ianya hanyalah terjemahan daripada bahasa arab kepada bahasa melayu sahaja. Ini bukanlah yang dikehendaki pada syarak terhadap muslim untuk mengetahuinya bahkan wajib mengetahuinya secara lebih mendalam lagi. Telah berkata Syeikh Sanusi Rahimahullahu Ta’ala, didalam syarah kitabnya Ummul Barahain, وقد نصّ الأئمة على انّه لا بدّ من فهم معناها والاّ لم ينتفع بها صاحبها في الانقاذ من الخلود في النّار Maksudnya : “ Dan sesungguhnya segala imam mujtahid ikutan kita telah mengkhabarkan bahawa wajib mengetahui, memahami dan mengakui makna dua kalimah syahadah itu. Dan jika tidak memahaminya maka, orang melafazkan dua kalimah syahadah itu tidak mendapat manfaat daripadanya iaitu kekal didalam neraka”. Ini disebabkan oleh dua kalimah syahadah yang berserta maknanya itu merupakan syarat sahnya keislaman seseorang. Dan tidak sah dua kalimah syahadah seseorang itu melainkan setelah mengetahui, memahami dan mengetahui makna syahadah yang sebenar . Telah berkata Syeikh Muhammad Pajiji didalam kitabnya Hasyiah Sanusi, لأن العلماء رضى الله عنهم قد اتّفقوا على أنه من جهل معناها لا حظّ له في الأسلام بل هو من الكفّار مجوسى لا تؤكل كل ذبيحته ولا تحل مناكحته لا يرث ولا يورث Maksudnya : kerana bahawasanya sekalian ulama’ yang diredhai oleh Allah Ta’ala sesungguhnya telah muafakatlah sekalian mereka itu, bahawasanya sesiapa yang jahil yakni tidak mengetahui makna dua kalimah syahadah itu nescaya tidak sahlah islamnya yakni masih belum islam, tetapi ialah kafir majusi. Tidak boleh memakan sembelihannya, tidak sah berkahwin dengannya, dan tidak dia tidak boleh menerima harta pusaka serta diboleh memberi pusaka kepada kaum kerabatnya yang islam. ومن لم يعلم معناها فهو كافر مخلّد في النّار وان صلى وصام رمضان وحج بيت الله الحرام Maksudnya : “Dan sesiapa yang tidak mengetahui makna dua kalimah syahadah itu maka dia kafir, kekal didalam api neraka dan jika dia sembahyang, puasa pada bulan ramadhan, mengerjakan haji ke Baitullahil Haram sekalipun”. Ini kerana, sesungguhnya apabila tidak mengetahui makna dua kalimah syahadah maka tidak sahlah keislamannya. Dan jika hendak mengetahui akan makna dua kalimah syahadah tersebut hendaklah mengenal atau makrifah Allah terlebih dahulu kerana ia merupakan jalan pada mengetahui akan makna sebenar dua kalimah syahadah. Sebagaimana kata Imam Al-Ghazali Rahimahullahu Ta’ala : لا تصح العبادة الاّ بعد معرفة المعبود Maksudnya : tidak sahlah segala ibadah yang dilakukan oleh seseorang melainkan selepas dia mengenal siapa yang disembah olehnya yakni Allah Ta’ala. Telah sepakat para ulama’ Ahlus Sunnah Wal Jama’ah juga bahawa : اوّل الدّين معرفة الله Maksudnya : perkara yang utama pada agama adalah mengenal Allah Ta’ala. Setiap muslim hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengetahui dan memahami makna dua kalimah syahadah tersebut.

Saturday, July 2, 2011

Subhanallah...Salam Israk Mikraj


Al-ISRA’

Ketahuilah bahawa Isra’ merupakan perkara yang telah sabit (tetap) berdasarkan nas Al-Quran. Berdasarkan dari firman Allah ta’ala yang bermaksud :
“ Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjid Al-Haram menuju ke masjid Al-Aqso yang telah Kami berkati sekelilingnya untuk Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan) Kami, dan sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat ”.

Maka wajib beriman bahawa Allah ta’ala telah memperjalankan (mengisra’kan) Nabi Muhammad pada waktu malam dari bumi Mekah ke masjid Al-Aqso dan ulama islam dari kalangan ulama Salaf hakiki, Khalaf, para Muhaddith, para Mutakallimin, para Mufassirin, para Fuqoha dan ulama-ulama islam yang lain telah mempersepakati bahawa berlakunya peristiawa Isra’ terhadap Nabi Muhammad itu adalah dengan ruh dan jasab baginda, dan bukanlah suatu mimpi.
Al-Mi’raj
Mikraj merupakan perjalanan yang dimulai dari masjid Al-Aqso di Palestin hingga ke langit yang ketujuh dengan menaiki tangga yang terpaut di antara langit dan bumi mengunakan anak tangga yang diperbuat daripada emas dan perak. Antara tujuan diMi’rajkan Nabi ke langit adalah untuk diperlihatkan keajaiban di alam atas dan bukannya untuk bertemu dengan Allah kerana Allah wujud tanpa tempat.